Wanita Mengaku Sebar Ajaran Sesat ‘Cahaya’, Dakwa Bukan Mahram Boleh Berpelukan

Entertainment
13 Nov 2024 • 2:54 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Seorang suri rumah dari Seremban dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM 2,500 di Mahkamah Tinggi Syariah hari ini atas pertuduhan mengajar dan bersubahat menyampaikan ajaran sesat iaitu Ajaran Cahaya, tahun lalu.

Tertuduh, Noridayu Hashim, 42, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan salah di hadapan Hakim Syarie Zulfikri Yasoa sejurus pertuduhan dibacakan.

Wanita tersebut didapati mengajar ajaran yang terpesong dengan hukum syarak kepada seorang wanita berusia 59 tahun dan seorang lelaki berumur 65 tahun dengan menyatakan bahawa berpelukan dengan berbeza jantina dan bukan mahram adalah dibolehkan kerana Kumpulan Ajaran Cahaya adalah malaikat dan tidak mempunyai nafsu.

Dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 35 yang dibaca bersama Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992.

Pertuduhan kedua, tertuduh didapati telah bersubahat dengan seorang lelaki, Idis Ami, 60 kerana menyampaikan ajaran salah kepada sekumpulan orang yang dikenali sebagai Kumpulan Cahaya.

image is not available

Tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama dan dua kesalahan ini dilakukan dari September 2023 hingga Disember 2023 bertempat di sebuah rumah yang beralamat Kampung Sungai Dua Besar, Kuala Pilah.

Menurut laporan sumber, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalagan bagi setiap pertuduhan.

image is not available

Bagaimanapun, Noridayu yang tidak diwakili peguam membuat rayuan kepada mahkamah agar menjatuhkan hukuman ringan kerana dia dan suami tidak mempunyai kerja tetap dan hanya menjana pendapatan dengan berniaga makanan.

Tertuduh juga memohon maaf atas kesilapannya dan mengakui sudah insaf atas perbuatan itu. Media pada 4 Oktober lalu melaporkan seorang individu mengaku di dalam dirinya ada roh kudus yang merujuk kepada roh semua rasul dan menganggap sudah mencapai darjat yang tinggi sehingga tidak perlu beribadat.

Sumber : Berita Harian

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.