Wanita mengandung enam bulan maut langgar anjing

24 Aug 2023 • 2:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan dari kedai makan di Jalan Tampin - Gemas ke rumahnya di Kampung Keru Hulu,Tampin.

TAMPIN - Wanita mengandung enam bulan maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar seekor anjing di Jalan Keru- Batu Belang, di sini pada Khamis.

Mangsa yang berusia 35 tahun itu disahkan meninggal dunia jam 2.10 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Tampin.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, kejadian jam 12.05 tengah malam itu berlaku ketika mangsa sedang menunggang motosikal jenis Modenas Dinamik seorang diri.

"Siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari kedai makan di Jalan Tampin - Gemas ke rumahnya di Kampung Keru Hulu,Tampin.

"Namun sebaik sampai di lokasi, mangsa telah melanggar seekor anjing menyebabkannya hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan lalu terjatuh," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, mangsa cedera parah dan dihantar ke Hospital Tampin untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia selepas dua jam kejadian.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan.

"Boleh tampil ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Tampin atau menghubungi Balai Polis Trafik IPD Tampin di talian 06-4412502 atau Bilik Gerakan IPD Tampin di talian 06 - 4431999 bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved