Wanita menyamar peguam di Mahkamah Setiu direman tiga hari

LocalPolitics
16 Apr 2026 • 5:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Suspek dibawa ke mahkamah Kuala Terengganu untuk permohonan reman pada Khamis.

SETIU – Taktik licik seorang wanita yang menyamar sebagai peguam semata-mata mahu bertemu dengan seorang tahanan membawa padah apabila dia ditahan pihak polis di sini pada Khamis.

​Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, suspek yang berusia 30-an itu ditahan di kediamannya di daerah Kuala Terengganu susulan laporan polis yang diterima.

​Menurutnya, kejadian tersebut dikesan berlaku pada 12 April lalu, kira-kira jam 9 pagi, semasa pengadu yang merupakan seorang pegawai polis berusia 30-an sedang bertugas di Mahkamah Majistret Setiu.

"Pengadu mendakwa telah didatangi oleh suspek yang memperkenalkan dirinya sebagai peguam kepada seorang tahanan.

​"Atas dasar jawatan yang dinyatakan, wanita itu dibenarkan berjumpa dengan tahanan di dalam kawasan mahkamah.

​"Bagaimanapun, penyamaran suspek mula terbongkar sewaktu pertuduhan dibacakan kepada tahanan apabila dia secara tiba-tiba mengaku kepada pihak mahkamah bahawa dia sebenarnya hanyalah penjamin dan bukannya peguam," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

​Mohd Zain berkata, suspek dipercayai sengaja menipu dengan menggunakan identiti peguam sebagai modus operandi untuk mendapatkan akses bertemu tahanan berkenaan.

​Mengulas lanjut, beliau memberitahu suspek kini direman selama tiga hari bermula 16 April hingga 18 April ini bagi membantu siasatan.

​"Perintah reman telah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu dan kes disiasat di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan cara penyamaran.

​"Pihak polis komited untuk terus membanteras jenayah penipuan seperti ini dan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi prosedur undang-undang yang ditetapkan," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved