Kota Kinabalu: Seorang wanita berusia 31 tahun didenda RM2,500 atau penjara sebulan kerana memiliki kosmetik tanpa notifikasi bernilai RM1,785.
Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz menjatuhkan hukuman itu kepada Nurul Fazilah Tajuddin yang mengaku bersalah kepada pertuduhan terhadapnya.
Nurul didapati mempunyai 15 kotak Fjura Face Polish Treatment tanpa notifikasi pada jam 3.10 petang 29 Ogos 2019 di sebuah rumah di Taman Kendara Fasa 2 di Jalan Kepayan Nosoob dekat sini.
Kesalahan di bawah Peraturan 18A(1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 itu boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952 yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau denda sehingga RM25,000 atau kedua-duanya, bagi kesalahan pertama, dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya, ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda sehingga RM50,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan permohonan Nurul untuk membayar denda secara ansuran dengan bayaran pertama RM500 dan baki RM2,000 perlu dibayar pada atau sebelum 14 Nov tahun ini.
Semasa rayuan, Nurul yang tidak diwakili peguam meminta hukuman ringan dengan mengatakan dia mempunyai tanggungan dan meminta denda itu dibayar secara ansuran.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Amira Diyana Rosman dari Jabatan Farmasi menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal atas sebab kosmetik perlu dimaklumkan dengan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan sebelum dipasarkan di Malaysia bagi memastikan keselamatan dan kualiti produk untuk kegunaan awam.
Amira memberitahu mahkamah bahawa kosmetik yang dirampas itu disahkan tidak mempunyai notifikasi, dan kualiti, keberkesanan serta keselamatan produk tersebut diragui.
Dia menambah bahawa penggunaan kosmetik yang tidak mempunyai notifikasi boleh menyebabkan risiko kesan sampingan kepada orang ramai.
Amira seterusnya berhujah, demi keselamatan orang ramai, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal bukan sahaja untuk memberi pengajaran kepada Nurul tetapi sebagai amaran kepada orang lain.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

