
Usahawan dan pempengaruh sensasi, Bulan atau nama sebenarnya Mabel Ira Bulan, menafikan tuduhan 'membela' artis remaja Fikry Kiki.
Bulan, 27, juga bersimpati dengan tuduhan yang dilemparkan kepada penyanyi yang dituduh menjual tubuh dan dibela oleh sugar mummy hingga mampu mengusahakan peniagaan dengan modal yang besar.
“Bagi saya, tuduhan sebegitu tidak sepatutnya berlaku. Sebab niat kami baik, usahakan bisnes ini dalam masa yang sama membantu masyarakat untuk menjana pendapatan.
“Sepatutnya, masyarakat atau netizen sokong anak muda seperti kami yang berusaha untuk memajukan diri. Bukannya tuduh yang bukan-bukan.
“Saya selesa berkawan dengan Kiki. Dia pun ada potensi untuk jadi usahawan berjaya cuma perlukan masa. Saya pun masih dalam proses belajar.
“Jadi kami saling membantu dan sering berkongsi idea untuk memajukan Liquffe yang saya lihat boleh pergi jauh. Kopi tanpa bancuh yang pertama di Malaysia,” katanya yang menegaskan modal RM600 ribu adalah perkongsiannya dengan Fikry Kiki.
Terdahulu, Fikry tampil menafikan dakwaan dirinya dibela sugar mummy seperti yang diterima menerusi kiriman mesej langsung di Instagram.

