
KUALA KANGSAR – Tusukan tajam pada pangkal arteri fermoral kanan sehingga menyebabkan pendarahan di kaki disahkan sebagai punca kematian wanita orang kurang upaya (OKU) di Kampung Cheh, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, maklumat itu diperoleh selepas proses bedah siasat selesai dijalankan di Hospital Taiping pada pukul 4 petang tadi.
Mangsa, Nor Ainon Omar, 49, dijumpai dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri di rumahnya kira-kira pukul 2 petang semalam. Mangsa mendiami rumah itu bersama suami dan tiga anaknya yang juga OKU.
Susulan kejadian itu, suami dan anak lelaki mangsa berusia 15 tahun masing-masing direman tujuh dan dua hari bagi membantu siasatan kes tersebut yang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Difahamkan, ketika mangsa sedang menyiapkan ikan bilis, dia mengadu kakinya dicucuk dengan benda tajam dari bawah rumah kepada suami.
Namun situasi menjadi parah apabila mangsa tidak sedarkan diri sebelum suaminya mendapatkan bantuan daripada penduduk setempat dan pihak polis.
Jenazah wanita itu dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Cheh Hilir kira-kira satu kilometer dari rumahnya. – KOSMO! ONLINE
The post Wanita OKU dibunuh: Tusukan tajam pada pembuluh darah kaki punca kematian appeared first on Kosmo Online.





