Wanita patah kaki, kereta terjunam dalam longkang

21 May 2025 • 6:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Operasi membawa naik mangsa menggunakan tangga dan stretcher.

image is not available
Keadaan kereta dipandu mangsa terjunam ke longkang besar selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan lain. Foto tular

image is not available
Mangsa yang mengalami patah kaki kanan berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di lokasi.

SEREMBAN - Seorang wanita berdepan detik cemas selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan sebelum terbabas dan menjunam ke dalam longkang besar yang dianggarkan sedalam tiga meter.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban, Nazar Abdul Rahman, berkata laporan berhubung kejadian diterima pada jam 1.33 petang di Jalan Templer, berhampiran sebuah stesen minyak, di sini.

Menurutnya, kenderaan Perodua Axia yang dipandu wanita berusia 24 tahun itu terbabit kemalangan dengan sebuah Perodua Myvi sebelum terbabas dan jatuh ke dalam longkang berkenaan.

**media[3135205]**

"Setibanya di lokasi kejadian, didapati benar terdapat kemalangan membabitkan sebuah Perodua Axia yang terjatuh ke dalam longkang.

"Mangsa yang mengalami patah kaki kanan berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di lokasi," katanya menerusi kenyataan.

Katanya, mangsa kemudian dibawa naik ke atas menggunakan tangga dan stretcher sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan selanjutnya.

**media[3135204]**

Ujar beliau, seramai lapan anggota terlibat dalam operasi itu yang ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.24 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, ketika dihubungi memaklumkan bahawa laporan polis masih belum dibuat oleh mangsa setakat ini.