
SABAK BERNAM: Seorang pekerja Jabatan Pengairan dan Saliran menemui ajal ketika sedang bekerja dekat Kunci Air Grand Sabak Hotel, dekat Pekan Sabak, di sini, hari ini.
Wanita berusia 56 tahun itu disahkan meninggal dunia selepas tudung yang dipakainya terbelit pada mesin pemusing pintu air (role gate) di kunci air berkenaan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 3.35 petang tadi sebelum menggerakan sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam ke tempat kejadian.
“Komander operasi melaporkan, mangsa seorang wanita pekerja JPS didapati terbaring di atas kunci air. Siasatan awal mendapati tudung yang dipakai mangsa terbelit pada role gate.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan dan seterusnya diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Seramai lima pegawai dan anggota di kejarkan ke tempat kejadian dan dibantu oleh sebuah Light Fire Rescue Tender (LFRT). – UTUSAN
The post Wanita pekerja JPS maut tudung terbelit pada mesin pintu air appeared first on Utusan Malaysia.





