Wanita Perancis Dedah 5 Sebab Malaysia ‘Istimewa’

LocalTravel
23 Oct 2025 • 4:28 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Wanita Perancis Dedah 5 Sebab Malaysia ‘Istimewa’

Malaysia memang tak pernah gagal memikat hati pelancong luar. Bukan saja dengan keindahan tempatnya, tapi juga kerana kepelbagaian budaya, makanan dan sikap ramah rakyatnya.

Baru-baru ini, seorang wanita Muslim warga Perancis menarik perhatian ramai selepas berkongsi pengalamannya sepanjang menetap di Malaysia.

Dalam perkongsiannya, dia menceritakan perkara-perkara yang membuatkan dirinya jatuh cinta dengan kehidupan Malaysia, walaupun masih dikira “freshie” lagi.

1. Rumah mampu milik

Wanita ini mengakui kagum dengan gaya hidup di Malaysia yang dianggap selesa tapi tak membebankan.

“Di Malaysia, agak biasa untuk jumpa kondominium yang ada gim dan kolam renang walaupun dengan harga yang sangat berpatutan,” katanya.

Mungkin ia sesuatu yang jarang dijumpai pada harga berpatutan di negaranya.

2. Makanan halal yang sedap dan murah

Satu lagi perkara yang paling dia hargai tentang Malaysia sudah pasti makanannya. Wanita ini berkata semua makanan di sini bukan saja lazat, malah berpatutan dan mudah didapati.

“Dari roti Cina sampai ke nasi lemak, semuanya halal, sedap, dan tak mahal. Kamu boleh makan dengan puas tanpa habis banyak duit,” tulisnya sambil seolah-olah mengakui Malaysia adalah syurga makanan.

3. Pengangkutan awam yang bersih dan selamat

Sebagai wanita yang sering menaiki pengangkutan awam seorang diri, dia memuji sistem pengangkutan di Malaysia yang disifatkan selamat, teratur dan bersih.

“Saya selalu naik MRT seorang diri dan sentiasa rasa selesa. Ia bersih, tersusun dan ada juga gerabak khas untuk wanita, sesuatu yang saya sangat hargai,” katanya.

4. Kemudahan surau di mana-mana

Satu lagi perkara yang benar-benar membuatkan dia kagum ialah mudahnya untuk menunaikan solat di Malaysia.

Di Malaysia, katanya, surau boleh dijumpai di mana-mana sama ada di pusat beli-belah, lapangan terbang, malah di stesen MRT sekalipun.

Katanya lagi, kemudahan sebegini sangat jarang ditemui di Perancis.

5. Masjid yang indah dan menenangkan

Wanita Perancis ini turut menyebut bahawa masjid-masjid di Malaysia bukan sahaja indah dari segi seni bina. Malah, damai, bersih dan dijaga dengan rapi.

“Bila saya kata sesuatu itu ‘mampu milik’, maksudnya bukanlah ia murah atau tiada nilai…”

Menariknya, selepas perkongsiannya tular, wanita ini turut tampil memberi penjelasan bagi mengelakkan salah faham.

Katanya, apabila dia menyebut sesuatu itu ‘affordable’ atau mampu milik, bukan bermakna murah atau tidak bernilai.

“Maksud saya, ‘mampu milik’ itu ialah sesuatu yang boleh dinikmati dalam kehidupan harian tanpa perlu berkorban secara berlebihan.

“Harap juga orang faham, saya sebenarnya tidak pun mendapat gaji minimum seperti di Perancis, walaupun saya warga asing yang baru tinggal di sini kira-kira enam bulan.

“Jadi, saya benar-benar berharap agar tiada siapa cepat membuat andaian tentang situasi atau niat saya. Kata-kata saya tidak pernah bermaksud untuk menafikan atau mengabaikan realiti hidup rakyat tempatan,” jelasnya.