
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sekitar penghujung tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa telah mengumumkan pelantikan Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu berkuat kuasa 15 Ogos.
Beliau menggantikan Datuk Bandar KL ke-14, Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh yang menamatkan perkhidmatannya dan mula bersara wajib pada 14 Ogos.

Apa yang menarik perhatian adalah status pegawai kerajaan itu sebagai wanita pertama yang dilantik menjawat jawatan tertinggi di ibu kota itu.
Secara ringkasnya beliau mempunyai pengalaman hampir 40 tahun dalam perancangan bandar (urban planning), penjanaan semula bandar (urban regen) serta pembangunan diterajui komuniti.
Bahkan beliau antara orang penting dalam perancangan bandar di koridor utara tanah air atau lebih tepatnya di Pulau Pinang.
Di bawah kami kongsikan secara ringkas latar belakang wanita hebat ini untuk rujukan anda:
Pendidikan
Ibu kepada dua anak perempuan ini merupakan kelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Perancangan Bandar) dari University of Wales Institute of Science and Technology, United Kingdom.
Beliau kemudian melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Sains (Perancangan Bandar) di Universiti Sains Malaysia (USM).
Maimunah yang juga anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Alam Bina dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UAIM) pada tahun 2023.
Ini membuktikan kehidupan beliau pada waktu kecil sebagai anak penoreh getah dan pernah bertemankan lampu minyak untuk belajar tidak menghalangnya untuk menimba ilmu.
Bahka keadaan sebegitu membuatkan beliau tekad untuk membawa keluarganya keluar dari kepompong kemiskinan.
Hasil usaha keras dan doa ibu bapanya, Maimunah yang juga bekas pelajar Kolej Tunku Kurshiah (TKC) akhirnya berjaya memperoleh biasiswa dari Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) untuk melanjutkan pelajaran ke UK.
Memetik Nona, antara jasa dan pengorbanan ibu bapanya yang paling beliau tidak dapat lupakan adalah di saat mereka menemaninya untuk mengulangkaji pelajaran.
“Saya masih ingat kenangan menyiapkan kerja sekolah dengan hanya diterangi pelita minyak tanah. Arwah mak akan ambil kain sarung dan saya duduk dalam kain sarung tersebut. Jadi arwah mak akan pegang kain itu supaya api pelita tak padam ditiup angin dan saya dapat siapkan kerja sekolah. Kalau dua jam, dua jam jugalah arwah mak berdiri. Sampai sekarang tiap kali tengok kain sarung, saya sedih sebab dengan kain sarung itulah saya boleh dapat biasiswa ke England.”
Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif
Jawatan penting
Memetik laman UN-Habitat, Maimunah memulakan kerjaya beliau sebagai Perancang Bandar di Majlis Perbandaran Pulau Pinang (kini Majlis Bandaraya) pada tahun 1985.
Pada tahun 2003, beliau dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Perancangan dan Pembangunan, dan kekal dengan jawatan itu sehingga November 2009.
Sebagai Pengarah, beliau bertanggungjawab menyediakan rancangan struktur dan tempatan, serta terlibat secara langsung dalam kawalan pembangunan projek-projek di Bandaraya Pulau Pinang dan juga pembangunan landskap.
Dari situ bermulalah peranan beliau sebagai pegawai tinggi organisasi antaranya seperti:
- Maimunah merupakan wanita Asia pertama yang pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Eksekutif Persidangan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) pada 2018 selama dua penggal (6 tahun)
- Bekas pemangku Ketua Pengarah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Nairobi, Kenya
- Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang pada 2017-2018
- Pernah dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai pada 2011, juga wanita pertama memegang jawatan itu.
- Bekas Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA)
- Pengerusi Bersama Secretary-General’s Task Force on the Future Cities
- Pengerusi Bersama Local 2030 Coalition
- Penasihat kepada International Council for Local Environment Initiative (ICLEI).
Pengiktirafan nasional dan antarabangsa
Sepanjang hampir 40 tahun bertugas. Maimumah banyak menerima pengiktirafan dari dalam dan juga luar negara antaranya:
- Tokoh Perancang Bandar Malaysia oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
- Ahli Kehormat Royal Town Planner’s Institute, United Kingdom
- Felo Kehormat, United Cities of Local Government (UCLG)
- Ambassador of His Majesty King Charles III (King’s Foundation)
Source:


