
KOTA KINABALU: Seorang wanita Sabah berusia 19 tahun mencipta sejarah apabila menjadi anak negeri pertama dinobatkan sebagai Miss Globe Malaysia 2026, sekali gus mengharumkan nama Sabah dalam dunia pertandingan ratu cantik.
Daniellyn Izabel Tan, yang turut menyandang gelaran Miss Grand Sabah 2026, berkata kemenangan itu bukan sekadar pencapaian peribadi, malah satu tanggungjawab untuk membawa budaya, kekuatan dan semangat Sabah ke pentas yang lebih besar.
“Mewakili Sabah bermakna membawa bersama kebanggaan, budaya dan kekuatan negeri kelahiran saya. Saya berharap dapat membuktikan bahawa Sabah adalah tempat lahirnya wanita yang berbakat, berdaya tahan dan berjiwa penyayang, yang mampu mencapai kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya kepada Daily Express.
Pelajar Diploma Perniagaan itu berkata kejayaan berkenaan membuktikan bahawa keazaman, kerja keras dan keyakinan mampu merealisasikan impian.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada keluarganya yang menjadi sumber sokongan terbesar sepanjang perjalanan sehingga berjaya ke pentas kebangsaan.
Daniellyn berkata gelaran ratu cantik turut membawa tanggungjawab lebih besar untuk memberi inspirasi dan berbakti kepada masyarakat.
Beliau merupakan pengasas pertubuhan Hearts of Impact, sebuah inisiatif diterajui belia yang memberi tumpuan kepada kerja sukarelawan, program khidmat masyarakat dan pemerkasaan golongan muda.
“Seseorang ratu cantik seharusnya memberi inspirasi melalui tindakan, bukan sekadar penampilan. Kecantikan sebenar terletak pada cara kita melayani orang lain dan impak positif yang ditinggalkan,” katanya.
Beliau berkata pertandingan ratu cantik turut membentuk keyakinan diri, disiplin dan ketahanan mental, selain mengajarnya menghadapi cabaran dengan penuh keyakinan dan tujuan.
Daniellyn berharap kejayaannya dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai wanita muda Sabah untuk mengejar impian tanpa membiarkan latar belakang menjadi penghalang.
“Saya berharap lebih ramai anak muda Sabah percaya bahawa mereka juga mampu melangkah ke pentas kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi wakil Sabah, Dovindra Ashley, 20, turut mengharumkan nama negeri apabila muncul tempat ketiga dalam Miss Globe Malaysia 2026.
Dovindra berkata penyertaannya memenuhi impian yang dipupuk sejak berusia 13 tahun dan pengalaman itu banyak mengajarnya mengenai keyakinan diri, kepercayaan terhadap kebolehan sendiri serta perkembangan peribadi.
“Mahkota bukan penamat perjalanan saya. Setiap pertandingan memberi pengajaran baharu dan saya akan terus berusaha kerana saya percaya masa saya akan tiba,” katanya.
Walaupun bersaing di pentas yang sama, Daniellyn dan Dovindra berkata hubungan mereka terjalin atas dasar saling menyokong dan berkongsi kebanggaan sebagai wakil Sabah.






