Wanita sembunyi kelahiran bayi kena 6 bulan, denda

LocalPolitics
24 Jul 2025 • 11:24 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Jo Ann Mool

Kota Kinabalu: Seorang wanita berumur 22 tahun dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,000 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini kerana menyembunyikan kelahiran bayi lelakinya dua tahun lalu.

Armaya Matjani mengaku bersalah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus melakukan perbuatan itu dengan membalut bayi berkenaan dengan plastik biru dan menyembunyikan mayatnya di belakang tangki air tandas dalam sebuah bilik inap desa di Tanjung Aru, antara 1 dan 2 November 2023, selepas melahirkan anak.

Armaya didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Tidak diwakili peguam, Armaya merayu hukuman ringan, dengsn memohon agar hukuman tidak dilaksanakan serta-merta kerana dia mempunyai urusan kerja yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Kareena Kaur Gill Karamjit Singh menggesa hukuman pencegahan, dengan menekankan kekejaman perbuatan terbabit dan kepentingan awam yang perlu diutamakan berbanding keadaan peribadi tertuduh.

TPR Kareena menghujahkan bahawa Armaya telah menempah bilik berkenaan, melahirkan bayi seorang diri di dalam bilik air, dan membuang mayatnya, tindakan yang jelas menunjukkan ia telah dirancang.

Semasa menjatuhkan hukuman, Majistret Dzul berkata bayi itu telah dilahirkan dalam keadaan sempurna.

Apabila ditanya sama ada dia sudah berkahwin, Armaya menjawab tidak dan mengatakan dia tidak lagi berhubung dengan bapa kepada bayi itu.

Majistret turut memaklumkan tertuduh tentang kewujudan kemudahan ‘baby hatch’ di bandaraya ini yang disediakan bagi membolehkan ibu-ibu menyerahkan bayi mereka secara selamat dan tanpa nama.

Bagaimanapun, Armaya hanya berdiam diri apabila ditanya sama ada dia mengetahui tentang kemudahan itu.

Terdahulu, pihak pendakwaan ketika mengemukakan fakta kes memaklumkan mahkamah bahawa pada 6 November 2023, jam 2.30 petang, seorang pekerja inap desa telah memaklumkan kepada pengadu tentang bau busuk dari kawasan belakang tandas salah satu unit.

Pemeriksaan mendapati terdapat sebuah beg plastik biru yang kembung dan berbau busuk, mengandungi kesan darah serta objek yang menyerupai tali pusat.

Satu laporan polis kemudian dibuat dan hasil siasatan mendapati seorang tetamu bernama Armaya telah mendaftar masuk ke unit terbabit seorang diri pada 1 November dan keluar pada keesokan harinya.

Dia dilihat hamil ketika tiba, tetapi tidak lagi menunjukkan tanda-tanda kehamilan ketika mendaftar keluar.

Pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah menjalankan siasatan lanjut dan mengesahkan penemuan seorang bayi lelaki yang lengkap dengan tali pusat dan uri.

Seorang doktor dari Hospital Queen Elizabeth 1 mengesahkan kematian bayi itu pada jam 5.28 petang hari yang sama dan bedah siasat telah dijalankan pada petang keesokannya oleh pakar patologi forensik.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki berumur 31 tahun dipenjara sehari dan denda RM25 atau penjara sehari kerana menyebabkan tekanan emosi terhadap isterinya dengan mengeluarkan ugutan jenayah semasa pertengkaran domestik.

Alwisus Igo Tadorus mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di kuarters pekerja di Taman Keramat pada 17 Julai, jam 9 malam.

Dia didakwa di bawah Seksyen 8(1)(e) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Sabah, yang memperuntukkan denda RM25 atau penjara seminggu jika sabit kesalahan.

Mahkamah dimaklumkan oleh pihak pendakwaan bahawa pada hari kejadian, berlaku pertengkaran antara Alwisus dan isterinya selepas wanita itu mengesyakinya mempunyai hubungan sulit.

Alwisus menafikan tuduhan itu, namun keadaan menjadi tegang apabila dia mengugut isterinya dengan berkata: “Kalau saya bercerai dengan kau dan saya tidak dapat hak penjagaan anak-anak, itu anak mati di tangan saya itu supaya kita dua-dua tiada anak.”

Pasangan itu sudah berkahwin selama hampir 13 tahun melalui Mahkamah Anak Negeri di Kota Belud, dan mempunyai tiga anak yang masih bersekolah, mahkamah diberitahu.

Tidak diwakili, Alwisus menangis teresak-esak di mahkamah sambil merayu agar diberi hukuman ringan kerana tidak mahu kes itu mengganggu persekolahan anak-anaknya.

TPR Kareena memohon hukuman pencegahan, dengan menegaskan bahawa kata-kata yang diucapkan adalah amat membimbangkan dan memberi kesan emosi yang serius.

Dalam penghakimannya, Majistret Dzul mengingatkan Alwisus bahawa masalah antara suami dan isteri tidak seharusnya membabitkan anak-anak.

“Kalau ada masalah dengan isteri, hadapilah secara matang. Kamu sudah dewasa, bertindaklah seperti orang dewasa. Fikirkan anak-anak, mereka yang akan menanggung akibatnya,” katanya.