Wanita Serah Semula Bantuan Zakat, Anak-Anak Dah Bekerja & Mampu Tanggung Keluarga

10 Jul 2025 • 2:51 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seorang wanita berusia 51 tahun di Pahang tampil mengundurkan diri secara sukarela sebagai penerima bantuan zakat selepas merasakan dirinya sudah tidak lagi layak menerima sumbangan itu.

Wanita tersebut menghantar surat kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) pada awal Julai lalu bagi memohon agar bantuan bulanan sebanyak RM500 yang diterimanya sejak tahun 2016 ditamatkan.

Wanita Serah Semula Bantuan Zakat

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, pihaknya amat menghargai tindakan jujur wanita itu yang sanggup memulangkan hak tersebut kepada asnaf lain yang lebih memerlukan.

“Kita amat menghargai keprihatinan dan kejujuran penerima yang memaklumkan perkara itu secara sukarela.
“Tindakan ini sebenarnya memberi ruang kepada kita untuk menyalurkan bantuan kepada asnaf lain yang benar-benar memerlukan,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

image is not available

Menurutnya, wanita itu menjelaskan bahawa keputusan dibuat kerana anak-anaknya kini sudah bekerja dan mampu menanggung perbelanjaan keluarga.

Asmadi berkata, tindakan tersebut wajar dijadikan contoh kerana bukan semua sanggup melepaskan bantuan meskipun keadaan mereka sudah stabil.

“Kita menyeru kepada penerima bantuan yang mengalami perubahan taraf hidup supaya memaklumkan kepada MUIP bagi memastikan agihan zakat dapat disampaikan secara adil dan berkesan,” katanya lagi.

image is not available

MUIP turut menegaskan komitmen untuk memastikan setiap sen wang zakat diagihkan dengan amanah kepada golongan asnaf dan keluarga yang benar-benar memerlukan, demi membantu mereka menjalani kehidupan yang lebih baik dan terurus.

Sumber: Sinar Harian (Norawazni Yusof)