Wanita serang remaja di Pantai Merdeka ditahan

20 Jun 2022 • 11:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SUNGAI PETANI - Seorang wanita yang juga operator sebuah kilang ditahan kerana disyaki mendatangkan kecederaan menggunakan senjata ke atas seorang remaja, dalam kejadian di Pantai Merdeka pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, wanita berusia 23 tahun itu ditahan selepas satu laporan diterima dari mangsa yang merupakan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun, pada hari yang sama.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku pada jam kira-kira 6.22 petang apabila mangsa berada di gerai kakaknya yang menjual mainan di Pantai Merdeka sebelum didatangi suspek.

"Mangsa dikatakan diserang suspek menggunakan kunci kereta sehingga berlaku pergelutan.

"Akibat kejadian, mangsa mengalami luka di kening kanan selain berasa sengal badan akibat kesan jatuh ditolak," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kejadian turut tular di media sosial Facebook sehingga menerima lebih 900 komen serta dikongsi 2,600 netizen.

Turut dimuat naik video durasi 19 saat yang menunjukkan mangsa mengalami luka di bahagian muka setelah diserang suspek.

Menurut Zaidy, serangan dipercayai berpunca disebabkan rasa tidak berpuas hati terhadap keluarga mangsa berkaitan perniagaan.

Jelasnya, mangsa menjalani rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani.

Suspek direman bermula 20 hingga 22 Jun 2022 bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved