Wanita Warga Emas Ditahan, Didakwa Rancang Pembunuhan Netanyahu
Seorang wanita Israel berusia 73 tahun yang menghidap penyakit kronik telah didakwa merancang untuk membunuh Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menggunakan pelancar roket, lapor AFP.
Menurut kertas pertuduhan, wanita tersebut merupakan seorang aktivis anti-kerajaan dari Tel Aviv yang identitinya tidak didedahkan. Dia dikatakan membuat keputusan untuk membunuh Netanyahu selepas mengetahui tentang penyakitnya.
Pendakwa raya memetik kenyataannya berkata bahawa dia mahu ‘mengorbankan’ dirinya demi ‘menyelamatkan’ Israel daripada kerajaan semasa.
Dia dilaporkan berkongsi rancangannya dengan seorang lelaki yang juga aktivis dan meminta membantunya membeli bom tangan roket untuk melakukan pembunuhan itu.
Warga emas itu juga meminta bantuan lelaki terbabit untuk mengumpul maklumat berkaitan jadual pergerakan, lokasi dan kawalan keselamatan Netanyahu.
Namun, lelaki tersebut menolak untuk terlibat dan cuba memujuknya agar membatalkan niatnya. Setelah menyedari wanita itu tetap berkeras, lelaki berkenaan membuat laporan kepada pihak berkuasa, yang kemudian membawa kepada penahanannya.
Pendakwa raya meminta supaya wanita itu diletakkan di bawah tahanan rumah sehingga perbicaraan selesai, dengan alasan bahawa dia berpotensi membahayakan keselamatan awam.
Seperti yang dibuktikan oleh kenyataannya bahawa dia sanggup mati demi mencapai matlamat itu.
Untuk rekod, seorang lelaki Israel turut pernah ditahan tahun lalu selepas mengugut mahu membunuh Netanyahu dalam satu hantaran media sosial.
Dalam pada itu, pembunuhan ahli politik berprofil tinggi bukanlah sesuatu yang asing di Israel. Pada 1995, perdana menteri Yitzhak Rabin dibunuh kerana menyokong proses damai Oslo dengan rakyat Palestin.
Sumber: AFP
The post Wanita Warga Emas Ditahan, Didakwa Rancang Pembunuhan Netanyahu appeared first on Siakap Keli.





