Wanita warga emas rentung rumah terbakar

13 Mar 2026 • 6:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anggota bomba sedang memadam kebakaran sebuah rumah berhampiran sebuah kedai nasi ayam berempah di Kampung Guar Kepayang pada petang Jumaat. Foto: Ihsan bomba

KEPALA BATAS – [DIKEMAS KINI] Seorang wanita warga emas orang kurang upaya (OKU) ditemukan meninggal dunia selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Guar Kepayang, di sini pada petang Jumaat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, mangsa yang dikenali sebagai Siti Aishah Ahamad, berusia lingkungan 60-an ditemukan dalam keadaan rentung di dalam bilik tidur selepas kebakaran berjaya dikawal pasukan bomba.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.59 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, jentera pertama tiba di tempat kejadian pada jam 5.15 petang, kira-kira tujuh kilometer dari balai.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas B berkeluasan kira-kira 40 x 80 kaki persegi dengan anggaran kemusnahan sebanyak 80 peratus.

“Semasa operasi mencari dan menyelamat dijalankan dengan kelengkapan perlindungan diri (PPE), mangsa ditemukan di dalam sebuah bilik tidur selepas kebakaran berjaya dikawal,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, operasi memadam kebakaran dikawal pada jam 5.40 petang dan api dipadam sepenuhnya pada jam 5.46 petang sebelum operasi ditamatkan pada jam 8.31 malam.

"Dalam kejadian itu, dua lagi mangsa mengalami kecederaan ringan iaitu suami mangsa, Yaakub Aziz berusia lingkungan 60-an yang melecur di tangan serta anak mereka, Norhisham Yaakub berusia 20-an juga melecur di kaki.

"Seorang lagi penghuni iaitu kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dilaporkan selamat," ujarnya.

Difahamkan, rumah tersebut didiami tujuh ahli keluarga namun tiga lagi anak lelaki mereka tidak berada di lokasi kerana bekerja ketika kejadian.

Mohamad Shoki berkata, kebakaran turut melibatkan empat buah motosikal iaitu Honda EX5 dengan kemusnahan kira-kira 70 peratus, Yamaha Lagenda (95 peratus), RXZ (95 peratus) dan Honda RS (95 peratus).

"Operasi diketuai seorang pegawai kanan penguasa bomba serta 23 anggota daripada BBP Kepala Batas dengan bantuan BBP Tasek Gelugor, Butterworth dan Bertam.

"Turut membantu di lokasi ialah pasukan bomba sukarela dari Kepala Batas, Sungai Puyu, Raja Uda, Bagan Ajam dan Sungai Petani," katanya lagi.

Menurutnya lagi, pasukan penyiasat kebakaran (FIO) bersama Unit Pengesan K9 turut dipanggil bagi membantu siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

"Pusat Sehenti Pasca Insiden (PSPI) turut memberikan khidmat nasihat serta mengambil maklumat pemilik rumah bagi membantu keluarga mangsa mengikut keperluan semasa.

"Kes juga melibatkan kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB)," katanya.