TAIPING – Seorang wanita warga emas ditemukan mati di dalam rumahnya yang berkunci di Jalan Panglima Jaya, Taman Panglima Jaya di sini pada Isnin.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, panggilan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping pada jam 3.02 petang melibatkan mangsa berusia 71 tahun.
Menurutnya, anggota yang tiba di lokasi mendapati, kediaman tersebut berkunci dari dalam dan terdapat seorang wanita berada di dalam rumah berkenaan.
"Ketua operasi kemudian melaksanakan penilaian situasi (size-up) sebelum mengarahkan anggota membuka pintu rumah menggunakan peralatan khas.
"Selepas pintu berjaya dibuka, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
"Operasi melibatkan tujuh anggota bomba dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.50 petang," katanya.

