Warga asing dituduh hutang, diculik dan diikat

14 Oct 2022 • 7:49 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Bangladesh yang tangan dan kakinya dirantai kerana dipercayai berhutang diselamatkan polis di sebuah bangunan kosong di Seri Kembangan di sini, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai, berkata mangsa berusia 45 tahun ditemukan susulan penahanan dua lelaki warga Bangladesh dipercayai suspek utama berumur 34 dan 43 tahun di sebuah rumah kongsi berhampiran bangunan berkenaan pada hari sama.

Beliau berkata polis turut menahan tiga warga tempatan iaitu sepasang suami isteri berusia 33 tahun dan seorang wanita berumur 56 tahun di sekitar Lembah Klang pada Isnin lepas.

Katanya, mangsa dipercayai dilarikan kesemua suspek terbabit di Jalan Sentul Indah di sini, pada 7 Okt lalu selepas berhutang RM25,000 dengan salah seorang daripada mereka.

“Mereka telah meminta wang tebusan sebanyak RM40,000 daripada keluarga mangsa yang berada di negara asal,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya polis turut merampas antaranya enam telefon bimbit dan sebuah kereta yang dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah berkenaan.

Katanya dua warga asing terbabit direman sehingga 24 Okt ini manakala tiga lagi dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 362 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang. - Bernama