
GEORGE TOWN – Seramai lima nelayan warga asing termasuk seorang tekong ditahan selepas sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) Kelas C dipercayai melanggar syarat pelesenan dan peraturan imigresen, semalam.
Penahanan individu terdiri dua warga Thailand dan tiga Myanmar itu dilaksanakan pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Pulau Pinang, kira-kira pukul 9.55 pagi.
Pengarahnya,Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, VNT berkenaan dikesan oleh KM Semilang ketika rondaan dijalankan di sekitar perairan negeri ini.
Menurutnya, pemeriksaan dan penggeledahan kemudian dilakukan kira-kira pukul 10.40 pagi di kedudukan 17 batu nautika, Barat Daya Pulau Kendi.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak itu gagal mengemukakan lesen serta dokumen berkaitan vesel dan peralatan menangkap ikan.
“Empat awak-awak warga asing pula didapati tidak memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, vesel bersama tekong dan kesemua awak-awak berusia antara 25 hingga 52 tahun itu kemudiannya ditahan sebelum diiringi ke Jeti Pusat Tahanan Vesel, Ibu Pejabat Maritim negeri untuk tindakan lanjut.
Katanya, nilai keseluruhan rampasan termasuk vesel berkenaan dianggarkan berjumlah RM3 juta.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang mengabaikan undang-undang perikanan dan imigresen demi menjamin kelestarian hasil laut serta kedaulatan perairan negara,” katanya.
Jelasnya, APMM akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan di perairan negara bagi memastikan aktiviti perikanan dilaksanakan mengikut peraturan ditetapkan.
Tambahnya lagi, usaha tersebut bertujuan membanteras sebarang bentuk pelanggaran undang-undang selain melindungi kepentingan dan sumber maritim negara. -KOSMO! ONLINE
The post Warga asing kendali vesel tempatan, RM3 juta nilai rampasan appeared first on Kosmo Online.






