Lelaki tempatan dibunuh, tiga pelajar IPT warga asing ditahan

23 Sep 2026 • 7:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lelaki tempatan dibunuh, tiga pelajar IPT warga asing ditahan
Tiga warga asing penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang lelaki tempatan danKetua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah (kanan)

IPOH - Tiga warga asing penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang lelaki tempatan yang ditemui tidak sedarkan diri di Kampung Kuchai di sini pada 18 September lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, mangsa berusia 53 tahun ditemui orang awam dalam keadaan terbaring dan mengalami kecederaan pada bahagian muka.

Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Mangsa menerima rawatan selama beberapa hari sebelum disahkan meninggal dunia pada 22 September 2026 kira-kira jam 6.42 petang.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah kecederaan trauma tumpul pada bahagian kepala," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Muhammad Najib berkata, susulan siasatan yang dijalankan, polis menahan tiga lelaki warga asing yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan.

"Ketiga-tiga suspek berusia antara 17 hingga 20 tahun merupakan pelajar di sebuah IPT swasta di Ipoh. Mereka ditahan di sebuah pangsapuri.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-245 1500 atau mana-mana balai polis berhampiran.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved