Warga China ditahan guna pasport Mexico palsu

1 Apr 2026 • 5:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pegawai Imigresen merampas pasport palsu dan antarabangsa daripada suspek di sebuah pangsapuri mewah.

JOHOR BAHRU – Empat warganegara China yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor di sebuah pangsapuri mewah di kawasan Bayu Puteri, pada Selasa.

Pengarahnya, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, seorang daripada mereka dipercayai menggunakan Pasport Antarabangsa Mexico palsu untuk masuk dan tinggal di Malaysia.

“Semasa serbuan dijalankan, anggota JIM menemui sebanyak 13 pasport antarabangsa pelbagai negara termasuk Hong Kong, China dan Vietnam.

"Suspek berusia 43 hingga 57 tahun dipercayai bekerja di salah satu pusat rekreasi yang sedang dalam pembinaan di kawasan kelab golf sekitar Johor Bahru,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Rusdi berkata, kesemua mereka kini ditahan direman selama 14 hari bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 56(1)(1) Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Pasport 1966.

"JIM Johor akan menggiatkan operasi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) dan agen yang terlibat dalam pemalsuan dokumen, sekali gus mengekang aktiviti menyalahi undang-undang di negara ini," ujarnya.