Dua lelaki menyamar pegawai imigresen, peras ugut pekerja asing

LocalPolitics
13 Mar 2026 • 3:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Antara barangan yang dirampas daripada dua lelaki menyamar pegawai imigresen, termasuk dokumen palsu dan wang tunai.

ISKANDAR PUTERI - Polis menahan dua lelaki kerana menyamar sebagai pegawai penguat kuasa imigresen dan memeras ugut pekerja warga asing di kawasan Taman Nusa Bestari, Skudai.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga Bangladesh berusia 28 tahun pada jam 9.12 malam, Ahad lalu.

"Pengadu memaklumkan dia menerima panggilan telefon daripada adiknya yang berusia 23 tahun. Adiknya telah ditahan oleh dua lelaki tempatan yang memperkenalkan diri sebagai pegawai dari Jabatan Imigresen pada jam 8 malam, hari yang sama.

“Suspek kemudian meminta mangsa membuat bayaran sebanyak RM1,600 sebagai syarat untuk melepaskan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Kumarasan berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri berjaya menahan dua suspek tempatan berusia 40 dan 41 tahun di kawasan Taman Nusa Bestari, jam12.20 tengah malam Isnin lalu.

Katanya, hasil semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah manakala ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah.

"Polis turut merampas beberapa barangan antaranya sebuah kereta, dua set walkie-talkie, sembilan telefon bimbit pelbagai jenama serta dua beg yang mengandungi salinan pasport mangsa dan wang tunai RM80.

"Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara Negeri Johor dan kedua-dua suspek diarahkan dituduh di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan jalan samaran," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai khususnya majikan yang mempunyai pekerja warga asing supaya sentiasa menasihati pekerja mereka agar lebih berwaspada bagi mengelakkan menjadi mangsa jenayah.

“Sekiranya berlaku kejadian jenayah, mangsa diminta tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan,” ujarnya.