
Kota Kinabalu: Seramai 19 warga China dan seorang wanita warga Taiwan yang sebelum ini didakwa atas pertuduhan konspirasi jenayah berkaitan skim pelaburan tidak wujud mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tinggal di Sabah selepas tempoh sah dokumen perjalanan mereka tamat.
Kesemua 20 tertuduh yang berusia antara 18 hingga 37 tahun membuat pengakuan itu secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin pada Isnin.
Mengikut pertuduhan, mereka ditahan pada 21 Mei kira-kira jam 10 malam di sebuah bilik hotel di Bandaran Berjaya selepas didapati berada di Sabah melebihi tempoh sah pas lawatan mereka yang hanya sah antara April hingga Mei.
Mereka didakwa tinggal di negeri ini selama beberapa hari hingga beberapa bulan selepas dokumen perjalanan masing-masing tamat tempoh.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta sama yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Mahkamah menetapkan Jumaat ini (12 Jun) untuk sebutan lanjut bagi membolehkan pihak pendakwaan mendapatkan pengesahan berhubung cop imigresen yang terdapat dalam pasport setiap tertuduh.
Tiada jaminan dipertimbangkan pada prosiding Isnin dan sebarang permohonan berkaitan perkara itu akan didengar pada tarikh yang sama.
Mahkamah turut memerintahkan semua tertuduh terus ditahan sehingga sebutan lanjut kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis dan Akaash Singh, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Shahlan Jufri serta Mohd Luqman Syazwan Zabidi.





