22 PTI didakwa jalankan skim pelaburan tidak wujud

LocalBusiness & Finance
9 Jun 2026 • 5:08 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

22 PTI didakwa jalankan skim pelaburan tidak wujud

Kota Kinabalu: Seramai 21 lelaki warga China dan seorang wanita warga Taiwan didakwa di Mahkamah Majistret pada Isnin atas pertuduhan bersubahat dalam satu konspirasi jenayah berkaitan skim pelaburan yang tidak wujud.

Kesemua tertuduh yang berusia antara 21 hingga 37 tahun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin Dzul Elmy Yunus dan Wan Farrah Farriza Wan Ghazali selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin.

Di hadapan Marilyn ialah Zhang Yi Liang, Yang Hao Xin, Ma Jian Chao, Zhang En Qi, Zou Xiang Lai, Xu Jou Jie, Wen Zhong Hua dan Dai Wen Hao.

Li Yong Bin, Wei Ming Ya, Wang Zhi Hong, Che Shi Xing, Xie Shuang, Lu Zuo Wei dan Zhang Hao pula dihadapkan di hadapan Dzul Elmy.

Sementara itu Fan Zi Sheng, Zhu Shan Jie, Chui Xiao Feng, Ma Pan, Wang Hao dan warga Taiwan, Li Xuan Qi didakwa di hadapan Wan Farrah.

Mereka didakwa secara bersama sebagai pihak yang terlibat dalam satu konspirasi jenayah dengan bersetuju sesama sendiri untuk secara tidak jujur memperdaya mangsa supaya mempercayai kewujudan satu skim pelaburan yang sebenarnya tidak wujud, satu kesalahan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik hotel di Bandaran Berjaya kira-kira jam 10 malam pada 21 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dipenjara sehingga lima tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Pihak pendakwaan yang memohon tarikh pengurusan kes praperbicaraan membantah sebarang jaminan atas alasan semua tertuduh adalah warga asing dan berisiko melarikan diri.

Peguam Shahlan Jufri dan Mohd Luqman Syazwan Zabidi Md Zain yang mewakili semua tertuduh memaklumkan mahkamah bahawa kesemua anak guam mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Menurut Shahlan, semua tertuduh sebelum ini turut didakwa di Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan, dan pihak pembelaan telah memohon jaminan dalam kes tersebut.

Beliau berkata Mahkamah Sesyen mengarahkan pihak pendakwaan mengesahkan sama ada cop atau pengesahan pada dokumen yang membenarkan tertuduh berada di Sabah adalah tulen, selain menetapkan 12 Jun ini untuk perkembangan status.

Shahlan kemudian memohon supaya kes di Mahkamah Majistret itu turut disebut pada Jumaat bagi membolehkan pihak pembelaan mengemukakan hujahan lanjut.

Mahkamah menetapkan 12 Jun untuk sebutan semula kes dan mengarahkan kesemua tertuduh terus direman sementara menunggu pengesahan dokumen mereka.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Akaash Singh dan Arfa Anchal Khan.