
SHAH ALAM, 28 SEPT: Wanita warga emas berusia 70 tahun maut dipercayai ditikam anak perempuannya di kediaman mereka di Laluan Kledang Utara 6, Taman Wang, Menglembu, Kampar semalam.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 7 malam daripada menantu mangsa yang juga suami kepada suspek.
Menurutnya, siasatan awal mendapati wanita berusia 49 tahun itu hanya tinggal berdua bersama ibunya ketika kejadian.
“Mangsa terlantar sakit dan memerlukan penjagaan yang rapi, manakala suspek pula dikesan mempunyai rekod rawatan psikiatri.
“Mungkin disebabkan (tekanan) tidak tahan dengan kerenah jagaan warga emas berkenaan, suspek bertindak menikam ibunya sekali di dada kiri menggunakan pisau,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar, hari ini, lapor Harian Metro.
Mohd Alwi berkata mangsa sebelum ini ditempatkan di sebuah pusat jagaan orang tua di Pusing, Batu Gajah sebelum dibawa pulang untuk dijaga suspek bersama suaminya.
Susulan kejadian, polis menahan suspek dan merampas pisau yang dipercayai digunakan dalam insiden itu untuk dihantar ke makmal forensik.
Suspek direman sehingga 4 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan berasingan, Mohd Alwi berkata remaja lelaki berusia 15 tahun yang disiasat berhubung kes pembunuhan ibunya yang juga orang kurang upaya (OKU) di Kampung Cheh Hilir, Kati sudah dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk rawatan.
Remaja terbabit sebelum ini direman bersama bapanya berusia 44 tahun bagi membantu siasatan kejadian pada 23 September lalu.
Mangsa, Nor Ainon Omar, 49, dilaporkan ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di kediamannya yang didiami bersama suami serta tiga anak.






