
BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki warga emas berusia 84 tahun mengalami kecederaan di kepala selepas sebuah kren tumbang dan menghempap bumbung pusat jagaan warga emas di Permatang Tinggi, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, kren itu dipercayai tumbang selepas hilang kestabilan ketika diletakkan di atas permukaan tanah tidak rata.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Mangsa, Chin Ah Leak atau dikenali sebagai Tan Seow Kheng, dibawa ke hospital oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ketibaan anggota bomba.
Pusat Jagaan Rumah Sejahtera Permatang Tinggi menempatkan 49 individu, terdiri daripada 38 penghuni dan 11 pekerja.
JBPM memaklumkan baki 37 penghuni dan 11 pekerja, termasuk pengendali kren, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kawasan kejadian turut dipasang penghadang bagi menghalang orang awam daripada memasuki kawasan larangan.
Keadaan berjaya dikawal pada jam 1.15 tengah hari sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.45 petang. - Getaran, 10 Oktober 2026





