
HONG KONG – Dua lelaki ditahan selepas mencuri emas bernilai kira-kira HK$30 juta (RM15 juta) dan menggantikannya dengan lapan botol cecair pelembut fabrik di sebuah bilik hotel di Hong Kong, lapor laman berita The Standard.
Kecurian itu dilaporkan oleh seorang individu warga China, baru-baru ini.
Mangsa memberitahu polis bahawa 30 kilogram (kg) serbuk emas yang disimpan di dalam bagasinya ditukar dengan beberapa botol pelembut fabrik mempunyai berat hampir serupa, manakala rakannya yang menginap di dalam bilik hotel sama turut hilang.
Selepas memeriksa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) hotel berkenaan, polis menahan seorang suspek di Tai Po.
Pihak berkuasa kemudian menemui kad kunci rumah tumpangan pada suspek sekali gus membawa kepada penemuan semula kesemua emas yang dicuri.
Suspek kedua pula ditangkap di Pos Kawalan Lo Wu semasa dia cuba meninggalkan Hong Kong.
Ketua Inspektor Bahagian Jenayah Daerah Kwun Tong, Tang Tsz-hin berkata, kecurian itu dipercayai dirancang dengan teliti dan didalangi rakan perjalanan mangsa sendiri.
Individu tersebut disyaki mengarahkan dua rakan subahatnya untuk membeli pelembut pakaian serta menyewa bilik terletak bersebelahan dengan bilik mangsa.
“Pertukaran dilakukan semasa mangsa keluar untuk menghisap rokok. Rakannya didakwa membuka pintu bilik dan membenarkan mereka masuk untuk menggantikan emas dengan botol-botol tersebut,” kata polis.
Dua suspek yang masing-masing berusia 27 dan 41 tahun itu masih ditahan untuk siasatan. – AGENSI
The post Emas 30 kilogram lesap, diganti dengan 8 botol pelembut pakaian appeared first on Kosmo Online.






