
MELAKA – Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang diasuh oleh anaknya, bulan lalu.
Tertuduh, Nordin Ithnin, 72, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dan diterangkan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Mengikut kertas pertuduhan, Nordin didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di ruang rehat beranda sebuah rumah di Solok Bukit Baru, Duyong, pada 21 Julai 2025, antara jam 5.30 petang hingga 6.30 petang.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak menawarkan jaminan, namun mencadangkan ia ditetapkan sebanyak RM10,000 berserta syarat tambahan sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara.
Peguam tertuduh, Farid Aziz, merayu agar jumlah jaminan direndahkan dengan alasan anak guamnya hadir secara sukarela selepas dihubungi pegawai penyiasat, dan tidak berisiko melarikan diri memandangkan faktor usia serta keadaan kesihatan yang lemah.
“Tertuduh adalah pesara sebuah majlis perbandaran, tinggal bersama anak-anak serta menghidap penyakit semput dan masalah pendengaran,” katanya.
Selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan syarat tambahan bahawa tertuduh atau wakilnya tidak dibenarkan mengganggu mana-mana saksi pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 9 September depan, bagi tujuan serahan dokumen dan mendapatkan laporan perubatan mangsa.


