
Kota Kinabalu: Seorang pengawal keselamatan berusia 61 tahun yang didakwa merogol seorang kanak-kanak, akan dibicarakan pada 3 – 4 April tahun ini.
Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan menetapkan tarikh itu bagi Liwoh Tigoan, yang kesnya dikemukakan untuk sebutan pada Jumaat.
Liwoh didakwa merogol kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun itu pada malam 3 Mei 2022 di sebuah rumah di Jalan Kionsom, Inanam dekat sini.
Kesalahan mengikut Seksyen 376 (2)(e) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara antara lapan dan 30 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan memberitahu mahkamah mereka akan memanggil lapan saksi untuk memberi keterangan semasa perbicaraan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Najihah Farhana Che Awang manakala Liwoh diwakili peguam Jaikol Situn.
Liwoh ditahan reman lanjut sementara menunggu kesnya selesai.
Dalam kes lain, seorang lelaki berusia 24 tahun mengaku bersalah menyebabkan kecederaan kepada seorang remaja perempuan semasa menyamunnya.
Bagaimanapun, mahkamah menangguhkan hukuman Sharulnizam Ahmad kepada 6 April tahun ini.
Pihak pendakwaan memohon satu tarikh secepat mungkin untuk fakta kes dan menjatuhkan hukuman kerana kertas siasatan masih berada di bawah pegawai penyiasat.
Sharulnizam didakwa melakukan kesalahan tersebut terhadap remaja berusia 16 tahun itu pada jam 8 malam 15 Jan tahun ini berhampiran Kedai Lucky Store di Sulaman Central, dekat sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Sementara menunggu tarikh itu, Sharulnizam ditahan reman selanjutnya.
Pendakwaan dilakukan oleh DPP Dacia Jane Romanus manakala Sharulnizam tidak diwakili peguam.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
