
Kota Kinabalu: Seorang warga emas berusia 78 tahun didenda RM4,000 atau dipenjara dua bulan kerana dengan kejam memukul seekor anjing yang telah membunuh dua ekor ayam belandanya serta untuk melindungi dirinya.
Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap Yong Chen Fah @ Joseph Yong, yang mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapinya pada Isnin.
Yong didapati dengan kejam memukul, menganiaya, menyeksa dan menakut-nakutkan anjing terbabit jam 1.30 petang, 31 Disember 2024 di sebuah rumah di Taman Donggongon, Penampang.
Kesalahan di bawah Seksyen 18(1)(a) Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000, atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Semasa mitigasinya, Yong yang tidak diwakili memohon denda paling minimum dikenakan terhadapnya dengan alasan dia sudah tua dan tinggal bersendirian di rumah kerana isterinya menghidap penyakit buah pinggang dan kerap keluar masuk hospital.
Dia memberitahu mahkamah bahawa dia memukul anjing itu kerana haiwan itu memasuki kawasan rumahnya dan menggigit serta membunuh ayam belandanya.
“Saya tidak memukul anjing itu semasa ia berada di luar kawasan rumah saya atau rumah tuannya. Saya cuba menghalaunya tetapi ia tidak mahu lari malah cuba menyerang saya. Sebab itulah saya pukul anjing itu, untuk melindungi diri saya, kerana saya sudah tua dan tinggal seorang diri di rumah,” katanya.
Yong, yang mengakui kesalahannya, membayar denda terbabit.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Francis Palikat memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap Yong sebagai pengajaran kepadanya dan bagi menghalang orang lain daripada melakukan kesalahan sama pada masa hadapan.
Menurut Francis, Yong memberikan kerjasama yang baik sepanjang proses siasatan.
Bagaimanapun, katanya, isu kebajikan haiwan atau kekejaman terhadap haiwan melibatkan kepentingan awam, seperti yang terbukti melalui jumlah denda yang tinggi dikenakan terhadap pesalah di bawah Enakmen Kebajikan Haiwan 2015.
“Dalam kes ini, Yong telah bertindak secara berlebihan dengan memukul anjing tersebut yang telah membunuh dua ekor ayam belanda peliharaannya, sehingga menyebabkan kecederaan dan berisiko membawa kepada kecacatan kekal atau kematian jika anjing itu tidak diselamatkan tepat pada waktunya,” kata Francis.
Mahkamah diberitahu bahawa pada 31 Disember 2024 antara jam 1.30 petang hingga 2.15 petang, pemilik anjing itu Brandon Tim Tony bersama adiknya Bethany Maelory Tony dan sepupu mereka Jeraldyn Teresa Monique, ternampak anjing mereka bernama Coby, seekor Siberian Husky, terbaring tidak bergerak dan lemah dengan kesan darah di kepala dan mulutnya di dalam sebuah rumah berpagar di Penampang.
Apabila melihat keadaan Coby yang cedera parah, Tim terpaksa memanjat pagar untuk menyelamatkan anjing terbabit dan segera menghubungi ibunya untuk memaklumkan mengenai kejadian itu.
Tim bersama keluarganya kemudian membawa Coby ke Pusat Perubatan Haiwan Sabah (SAMC) Penampang dan seterusnya ke SAMC Luyang pada hari sama untuk rawatan segera.
Ibu Tim, Mary Jim membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut di Balai Polis Penampang pada hari yang sama.
Siasatan mendapati Yong merupakan individu yang bertanggungjawab atas perbuatan terhadap anjing itu dan dia mengaku mencederakan anjing berkenaan dengan membaling batu serta memukul kepalanya sebanyak empat hingga lima kali dengan kayu sehingga anjing itu rebah dan menjadi lemah.
Ia juga didedahkan bahawa Yong melakukan perbuatan itu kerana marah selepas anjing terbabit menggigit dua ekor ayam belanda peliharaannya hingga mati dan cuba menyerangnya.
Yong turut membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Balai Polis Penampang pada hari sama.
Menurut laporan pemeriksaan veterinar dari SAMC Luyang, yang merawat anjing berkenaan, ia mengalami “neuritis saraf optik” pada kornea kanan akibat kecederaan trauma.
Selain itu, terdapat kecederaan pada dahi, gigi geraham kiri yang patah, dan ulser teruk pada mata kanan. Anjing itu juga menjalani rawatan “pembaikan kornea” dan “lipatan kelopak mata ketiga” kerana mata kanannya pecah.
Oleh itu, tertuduh, Yong, telah memukul, mendera, menyeksa dan menakutkan anjing terbabit dengan kejam.
Difahamkan bahawa pemilik anjing itu juga akan didakwa minggu hadapan.





