Warga emas ditemui kritikal berhampiran hospital Ipoh

24 Sep 2026 • 9:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Warga emas ditemui kritikal berhampiran hospital Ipoh
Seorang lelaki dipercayai berusia lingkungan 60 hingga 70 tahun ditemui mengalami kecederaan kritikal berhampiran Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Khamis.

IPOH - Seorang lelaki dipercayai berusia lingkungan 60 hingga 70 tahun ditemui mengalami kecederaan kritikal berhampiran Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 2.30 petang.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati seorang pengawal keselamatan hospital mengesan lelaki berkenaan dalam keadaan mencurigakan berada di laluan tangga kecemasan.

"Pengawal keselamatan tersebut kemudiannya mengekori lelaki berkenaan sebelum menemui mangsa berhampiran bangunan hospital tersebut.

"Mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan HRPB untuk mendapatkan rawatan dan kini masih menerima rawatan serta dilaporkan dalam keadaan kritikal," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Muhammad Najib berkata, mangsa dipercayai lelaki tempatan namun tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri ketika ditemui.

Katanya, mangsa ketika ditemui memakai baju-T lengan pendek berwarna merah dan seluar slack berwarna hitam.

Sehubungan itu beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat, mempunyai ahli keluarga yang dilaporkan hilang atau mengenali mangsa berdasarkan ciri-ciri tersebut supaya tampil membantu pihak polis mengenal pasti identitinya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2542222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved