
ALOR SETAR - Polis membuka siasatan bunuh selepas seorang lelaki berusia 55 tahun ditemui mati dengan beberapa kecederaan di kawasan rekreasi Persisiran Sungai Raja, di belakang Medan Bandar, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 9.50 pagi memaklumkan seorang lelaki terbaring tidak sedarkan diri di kawasan berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati mangsa terbaring di bawah sebuah wakaf sebelum pegawai perubatan dari Hospital Sultanah Bahiyah mengesahkan kematiannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa mengalami beberapa kecederaan termasuk luka di bawah dagu, lebam pada bahagian kiri kepala, pendarahan pada telinga kiri, lebam di sekitar kedua-dua mata serta kesan luka pada leher.
“Turut terdapat luka kecil di bahagian kanan dagu mangsa. Darah yang masih baru ditemui di lokasi kejadian menunjukkan mangsa dipercayai baru sahaja meninggal dunia,” katanya.
Syed Basri berkata, polis turut menemukan dua batang kayu patah berhampiran mayat, namun tiada tanda berlaku pergelutan atau kesan mayat diseret di lokasi kejadian.
Katanya, mangsa ditemui oleh seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang bekerja sebagai tukang cuci dengan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), kira-kira 9.20 pagi ketika menjalankan tugas di kawasan berkenaan.
“Saksi kemudian memaklumkan perkara itu kepada penyelianya sebelum laporan dibuat kepada polis,” katanya.
Mangsa dikenal pasti sebagai Wong Tek An, yang menetap di Kampung Tok Pasai, Kuala Kedah dan tidak mempunyai rekod jenayah.
Polis percaya kejadian berlaku antara kira-kira 6 pagi hingga 9.20 pagi, iaitu ketika mangsa ditemukan.
Syed Basri berkata, Wong dipercayai tidak mempunyai tempat tinggal tetap dan telah tinggal di kawasan rekreasi berkenaan sejak awal tahun ini.
“Setakat ini tiada tangkapan dibuat. Polis turut merampas beberapa batang kayu dari tempat duduk di dalam wakaf untuk siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala motif kejadian masih dalam siasatan. - Getaran, 24 September 2026






