Warga Emas Ditemui Mati Di Ladang Kelapa Sawit - Polis

28 May 2024 • 8:10 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Mazlan Mamat - Gambar BERNAMA

KUALA KRAI - Seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun ditemukan mati di ladang kelapa sawit dekat Pasir Layang, Kampung Bunut Saih, di sini lebih kurang jam 6.15 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, mangsa yang dijumpai dalam keadaan tidak berpakaian didapati sudah meninggal dunia lebih kurang lima hari yang lalu.

"Terdapat kesan gigitan di bahagian tangan kiri dan kanan mangsa dipercayai kesan gigitan binatang buas dan siasatan lanjut juga mendapati mangsa merupakan orang hilang yang dilaporkan kepada polis pada Rabu lepas.

"Menurut waris, mangsa mempunyai masalah kesihatan iaitu kencing manis, jantung dan penyakit alzheimer yang menyebabkan beliau sering kali lupa tentang perkara yang dilakukan," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra untuk bedah siasat dan pakar perubatan forensik mengesahkan punca kematian tidak dapat dikenalpasti memandangkan keadaan mayat yang telah reput.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah dilakukan terhadap mangsa. - BERNAMA