
Mayat Warga Emas Ditemui Di Ladang Kelapa Sawit Dengan Kesan Gigitan Binatang Buas
Mayat seorang warga emas yang dipercayai telah meninggal dunia kira-kira lima hari lalu ditemui dengan kesan gigitan binatang buas di ladang kelapa sawit di Pasir Layang, Kampung Bunut Saih, Kuala Krai.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat menyatakan bahawa pihak polis menerima maklumat mengenai penemuan mayat lelaki berusia 70 tahun itu pada pukul 7.30 malam.
“Hasil siasatan awal pihak polis dapati mayat berkeadaan tidak berpakaian.
“Terdapat kesan gigitan di bahagian tangan kiri dan kanan mayat dipercayai gigitan binatang buas,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, siasatan lanjut yang dijalankan mendapati mangsa ialah individu yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu.
“Mangsa dilaporkan keluar dari rumah sehari sebelumnya iaitu pada Selasa lalu, jam 1.40 petang bertujuan ke kebunnya yang terletak di Kampung Bunut Saih.
“Mayatnya bagaimanapun dijumpai pada 6.15 petang, semalam,” katanya.
Jelas beliau, menurut keterangan waris, mangsa mempunyai masalah kesihatan termasuk kencing manis, penyakit jantung, dan Alzheimer.
“Mayatnya dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra untuk bedah siasat namun pakar perubatan forensik mengesahkan punca kematian tidak dapat dikenal pasti memandangkan keadaan mayat yang reput.
“Kematian terbabit bagaimanapun tiada unsur-unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
The post Mayat Warga Emas Ditemui Di Ladang Kelapa Sawit Dengan Kesan Gigitan Binatang Buas appeared first on Siakap Keli.
