
BACHOK – Seorang wanita warga emas ditemukan maut di belakang rumahnya yang penuh dengan semak dan rumput panjang di Kampung Sungai di sini hari ini
Mangsa, Bidah Sulong, 85, dijumpai oleh anaknya kira-kira pukul 3 petang tadi selepas menyedari mangsa tidak mengambil nasi yang digantung pada pagar rumah sejak pukul 10.30 pagi.
Anak mangsa, Hindon Hamzah, 58, berkata, dia mengetahui penemuan mayat ibunya selepas dihubungi oleh kakak yang memaklumkan bahawa warga emas itu dijumpai sudah tidak bernyawa di belakang rumah bersama sebilah gunting dan rumput yang sudah dipotong.
“Sebelum penemuan mayat ibu, kakak ada menghubungi saya dan bertanyakan mengenai nasi yang digantung, namun tidak diambil pada pagar rumahnya.
“Kakak mencari ibu di sekitar kawasan rumah sebanyak tiga kali kerana rumput dan semak di belakang kediamannya sudah panjang,“ katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Sementara itu, jiran mangsa, Mohd. Razli Ismail, 59, berkata, warga emas itu sebelum ini pernah menghidap strok selepas mengalami tekanan darah tinggi.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Bachok di sini untuk dibedah siasat. – KOSMO! ONLINE
The post Warga emas ditemukan maut di belakang rumah appeared first on Kosmo Online.





