
PENAMPANG: Mayat seorang lelaki berusia 97 tahun ditemukan pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas sebuah rumah separa kekal dua tingkat di ditimbus tanah runtuh di Kampung Sarapung, di sini pada malam Khamis.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sabah dalam kenyataan Jumaat, memaklumkan mayat mangsa ditemukan di tingkat bawah rumahnya pada 10.35 pagi.
“Lelaki itu berjaya dikeluarkan pada 10.45 pagi dan bomba dengan polis serta penduduk kampung mengangkat mangsa sejauh 750 meter ke kawasan selamat.
“Mangsa diserahkan kepada polis dan operasi tamat pada 11.30 pagi,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, JBPM Sabah menerima laporan dua mangsa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh itu, namun seorang wanita berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung dan dilaporkan dalam keadaan stabil dengan kecederaan ringan.
Pasukan bomba berdepan kesukaran ke tempat kejadian kerana laluan terhalang akibat banjir dan tanah runtuh, selain perlu berjalan sejauh 3 kilometer untuk sampai ke situ.
Operasi membabitkan 30 anggota dari balai bomba Penampang dan Kota Kinabalu, dibantu oleh unit Storm, unit dron serta sembilan pegawai polis.
Operasi diketuai oleh PBK I Callixtus Fedilis dari balai bomba Penampang, di bawah penyeliaan komander operasi kanan PKPgB Zeno Tinggalan.
Operasi SAR ditamatkan pada jam 11.30 pagi Jumaat.
Pihak berkuasa berkata pasukan penyelamat akan terus memantau lokasi untuk risiko lanjut tanah runtuh atau banjir.




