Warga emas diusir dari pesawat selepas bergurau ada bom dalam beg

26 Apr 2025 • 12:03 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Seorang wanita warga emas diusir dari pesawat Batik Air di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta selepas bergurau dengan kru kabin bahawa dia membawa bom dalam begnya, hanya beberapa minit sebelum pesawat berlepas.

Lapor Daily Mail, lejadian yang berlaku pada 15 April itu dirakam penumpang lain, menunjukkan wanita berkenaan tenang mengemas barangnya sebelum keluar dari pesawat sambil diiringi pegawai keselamatan dan kakitangan syarikat penerbangan.

Menurut jurucakap Batik Air, wanita yang duduk di kerusi 11E itu memberitahu kru kabin bahawa dia membawa bom, sekali gus mencetuskan prosedur keselamatan kecemasan. Juruterbang dan pasukan keselamatan lapangan terbang terus dimaklumkan serta-merta untuk tindakan lanjut.

Pemeriksaan kemudian mendapati tiada sebarang bahan letupan ditemui dalam beg wanita tersebut, namun pesawat mengalami kelewatan selama dua jam sebelum dibenarkan berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sam Ratulangi, Manado, Sulawesi Utara.

Batik Air turut mengenakan tindakan dalaman dengan menyenarai hitam wanita berkenaan daripada menaiki pesawat mereka pada masa akan datang.