
BEAUFORT: Penantian sekian lama seorang warga emas untuk memiliki kediaman lebih selamat akhirnya tercapai apabila rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) miliknya siap sepenuhnya, tahun ini.
Ia sekaligus menghilangkan kebimbangan ibu kepada 11 anak berasal dari Kampung Karangan, di sini ekoran kondisi rumah peninggalan suaminya yang sudah usang setelah dibina lebih 40 tahun lalu.
Bagi Mini Dais, 71, hanya rasa syukur mampu dipanjatkan ke hadrat Ilahi dan rasa terima kasih kepada wakil rakyat kawasan itu kerana memberi beliau peluang menghabiskan sisa hidup di rumah baharunya itu.
Katanya, untuk membina sebuah rumah baharu memang beliau tidak mampu kerana hanya berharap bantuan kebajikan RM200 sebulan manakala semua anak-anaknya juga sekadar bekerja ‘makan gaji’ dengan pendapatan kecil.
