Warga emas hilang di kebun sawit, hanya motosikal ditemukan

1 Jun 2026 • 6:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Warga emas hilang di kebun sawit, hanya motosikal ditemukan
Abdullah dipercayai tidak pulang ke rumah setelah masuk ke kebun sawit tersebut pada petang Ahad, namun motosikal ditunggangnya masih berada di kebun. Foto bomba

JEMPOL - Seorang lelaki warga emas dilapor hilang di kawasan kebun sawit di Palong, di sini sejak Ahad.

Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd Jefri Jamal berkata, Abdullah Alias, 78, dipercayai tidak pulang ke rumah setelah masuk ke kebun sawit tersebut pada petang Ahad namun motosikal ditunggang mangsa masih berada di kebun.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pada jam 8.45 pagi ini, pusat gerakan operasi (PGO) turut memohon bantuan tiga anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) ke lokasi kejadian.

"Difahamkan warga emas itu keluar rumah pada jam 5 petang dan disedari tidak pulang ke rumah kira-kira sejam kemudian, sebelum waris berusaha mencari mangsa hingga jam 7 petang di kawasan kebun namun hanya menjumpai motosikal ditunggang mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, operasi SAR di kebun seluas 4.04 hektar itu melibatkan bantuan daripada empat anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Palong, tiga anggota polis dan lapan orang awam. - Bernama