
Warga Emas Hilang Ketika Cari Sarang Burung Di Gua Tepadung
LAHAD DATU, 1 Jun (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang sejak 26 Mei lepas ketika menjalankan aktiviti mencari sarang burung di kawasan Gua Tepadung, Batu 17, di sini.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Dzulbaharin Ismail berkata kehilangan mangsa yang berusia 61 tahun dan berasal dari Sandakan itu, bagaimanapun hanya dilaporkan kepada pihak polis pada 11.35 pagi semalam.
“Siasatan awal mendapati mangsa bersama dua rakannya telah memasuki kawasan gua berkenaan sebelum dia dipercayai terpisah daripada kumpulan tersebut kira-kira 7 malam," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata berdasarkan maklumat diterima, kali terakhir mangsa dilihat memakai kemeja dan seluar panjang berwarna coklat serta kasut getah, selain dilaporkan membawa tali yang digunakan untuk memanjat bagi mengambil sarang burung.
Dzulbaharin berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah diaktifkan sejak 2 petang semalam bagi mengesan mangsa yang dipercayai masih berada di sekitar kawasan gua berkenaan.
"Operasi pencarian tersebut dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi penyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)," katanya.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan mangsa supaya segera menghubungi pegawai penyiasat Roniey Lajius di talian 010-4631071 atau melaporkan ke balai polis berdekatan bagi membantu operasi pencarian.
Baca juga:
Pendaki Hilang: Rakaman Kamera Kesan Jaslinda Bergerak Menuju Kem Sukaneka
Pendaki Hilang: Pasukan SAR Ambil Cip Kamera Pengawasan Kesan Jaslinda
Pendaki Hilang: Khidmat Orang Asli Daripada Komuniti Setempat Dijangka Mula Esok
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini yang bermula 9.30 pagi, tertumpu di laluan terakhir mangsa dilihat serta kawasan sekitar yang berpotensi.
Menurut kenyataan itu, operasi tersebut berdepan cabaran komunikasi berikutan ketiadaan liputan Rangkaian Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN) selain capaian talian telefon yang sangat terhad di lokasi pencarian.
“Pasukan penyelamat yang memasuki lubang menegak pertama berjaya tiba di lokasi terakhir mangsa dilaporkan ditinggalkan dan menemukan sebuah power bank dipercayai milik mangsa di kawasan berkenaan.
“Walau bagaimanapun, kelibat warga emas itu tidak ditemui di lokasi tersebut,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, kenyataan tersebut memaklumkan pasukan penyelamat turut mengenal pasti satu lagi lubang baharu di sekitar kawasan operasi yang dipercayai belum pernah dimasuki atau diterokai oleh mana-mana individu sebelum ini, yang dilihat berpotensi untuk dikesan.
Hingga kini mangsa masih belum dijumpai dan operasi SAR ditangguhkan pada 4 petang tadi sebelum disambung semula esok.
