Warga emas jatuh sungai ketika memancing ditemukan lemas

30 Aug 2024 • 8:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seorang warga emas ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika memancing di Jeti Kampung Hiliran di Kuala Terengganu pada Jumaat. Foto Balai Bomba Dan Penyelamat Kuala Terengganu

image is not available
Mangsa berjaya ditemui di kedalaman dua meter di lokasi dilaporkan lemas. Foto Balai Bomba Dan Penyelamat Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU - Seorang warga emas ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika memancing di Jeti Kampung Hiliran di sini pada Jumaat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, mangsa dikenali sebagai Ahmad Ramzi Mohamad, 66, dari Kampung Seberang Baruh, Chabang Tiga di sini.

"Bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 4.48 petang tadi sebelum menggerakkan 14 anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan dua jentera dari BBP Kuala Terengganu dan BBP Jalan Kota ke lokasi.

"Tindakan PPDA membuat selaman di kawasan mangsa disyaki terjatuh membuahkan hasil apabila mangsa ditemukan pada kedalaman dua meter di lokasi kejadian pada 5.55 petang,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.

Rozizah berkata, mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi pencarian ditamatkan pukul 6.27 petang. - Bernama