
SHAH ALAM, 1 OKT: Warga emas maut selepas dihempap tiang syarikat utiliti ketika menunggang motosikal dalam perjalanan ke sebuah klinik di FELDA Jelai 4, Tampin, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 8.55 pagi itu, mangsa berusia 61 tahun mengalami kecederaan parah di kepala sebelum meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan FELDA Jelai.
Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Amiruddien Sariman berkata, siasatan mendapati mangsa menunggang motosikal dari FELDA Jelai 3 menuju ke klinik kesihatan di tanah rancangan berkenaan.
“Siasatan dijalankan mendapati motosikal ditunggang warga emas dalam perjalanan dari FELDA Jelai 3 menghala ke Klinik Kesihatan di tanah rancangan berkenaan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian sebuah treler yang dipandu lelaki berusia 40 tahun dipercayai sedang keluar dari simpang tiga jalan di kawasan berkenaan dan kabel syarikat utiliti dikatakan tersangkut pada treler itu.
“Ia menyebabkan tiang di bahu jalan bertentangan tumbang dan menimpa mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Amiruddien berkata, pemandu treler berusia 40 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian.
Menurutnya, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.






