Lelaki warga emas dilaporkan maut selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar oleh sebuah lori di sebuah persimpangan lampu isyarat Jalan Kamunting, Taiping, pada Ahad.
Menurut Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail, maklumat berkaitan kemalangan terbabit diterima pada jam 11.50 pagi melibatkan penunggang motosikal berusia 64 tahun dan lori dipandu lelaki berusia 44 tahun.
Katanya, siasatan mendapati kedua-dua kenderaan dari arah sama menghala ke Changkat Larah telah berhenti di lampu isyarat terbabit.
Bagaimanapun, setelah lampu isyarat bertukar hijau, tiba-tiba terdengar bunyi dentuman.
Pemandu terbabit telah turun untuk melakukan pemeriksaan dan mendapati telah melanggar motosikal mangsa.
“Mangsa bagaimanapun telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Tindakan diambil apabila pemandu terbabit dibawa menjalani ujian saringan air kencing serta alkohol dan hasilnya keputusan adalah negatif,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
The post Warga emas maut dilanggar lori appeared first on The Reporter.


