Warga emas maut kemalangan ketika ke masjid

5 Feb 2023 • 8:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kemalangan di persimpangan lampu isyarat Pejabat Pendidikan Daerah Telipot, Kota Bharu mengakibatkan seorang warga emas maut pada Ahad. - Foto ihsan Ketua Polis Daerah Kota Bharu

KOTA BHARU - Seorang warga emas dipercayai dalam perjalanan ke masjid untuk solat zuhur maut akibat kemalangan di persimpangan lampu isyarat Pejabat Pendidikan Daerah Telipot di sini.

Ketika kejadian pada jam 1 petang Ahad itu, mangsa, Abdullah Seman, 71 menunggang motosikal Yamaha Lagenda dari arah Taman Maju ke Masjid Telipot melalui Jalan Telipot.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, siasatan awal berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa melanggar lampu isyarat.

"Pada masa sama datang sebuah lori dari persimpangan kiri mangsa dan terlanggar bahagian sisi kiri motosikal yang ditunggangnya.

"Kemalangan menyebabkan mangsa terjatuh dan topi keledar tertanggal mengakibatkan kecederaan teruk di bahagian kepala," katanya melalui kenyataan pada Ahad.

Mohd Rosdi memberitahu, warga emas itu kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia untuk bedah siasat.

"Polis kini masih sedang mengesan pemandu lori dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.