
Tuaran: Seorang warga emas kelainan upaya (OKU) ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Pertanian, Kampung Tagas di sini, Ahad lalu.
Dalam kejadian kejadian sekitar jam 10.30 malam itu, Agus Ebah, 72, ditemui rentung oleh pasukan bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.35 malam mengenai seorang mangsa yang dikhuatiri terperangkap di dalam rumah yang terbakar.
Katanya, seramai 14 anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi berserta satu jentera dan satu kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Pasukan bomba bergegas ke lokasi kejadian dan sebaik tiba, penduduk kampung memaklumkan terdapat seorang mangsa terperangkap.”
“Pasukan bomba bertindak memadamkan api dan apabila kebakaran dapat dikawal, kami menemui seorang mangsa dalam keadaan rentung pada jam 11.57 malam,” katanya.
Mohd Qawie berkata, kebakaran terbabit memusnahkan 100 peratus struktur rumah jenis separuh kekal itu.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
