Warga emas pernah dibesarkan serigala sehingga remaja meninggal dunia

22 Aug 2026 • 11:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Warga emas pernah dibesarkan serigala sehingga remaja meninggal dunia

MADRID: Seorang warga emas, Markos Rodríguez Pantoja, yang dikenali sebagai budak serigala Sierra Morena telah meninggal dunia pada usia 80 tahun di Ourense, Sepanyol. 

Kisah hidupnya menjadi antara kes yang paling luar biasa dan jarang berlaku melibatkan seorang kanak-kanak yang hidup bertahun-tahun terputus daripada masyarakat manusia dan membesar bersama sekumpulan serigala. 

Menurut laman web Sepanyol 20minutos, daripada 80 tahun hidupnya, 12 tahun dihabiskannya hidup di kawasan belantara tanpa sebarang hubungan dengan manusia, dengan sekumpulan serigala sebagai satu-satunya teman.

Dia kemudian berkata bahawa 12 tahun tersebut merupakan tahun-tahun paling bahagia dalam hidupnya, berbeza dengan zaman kanak-kanaknya yang sukar, yang dicirikan oleh ketidakbahagiaan, penderaan dan kelaparan

Pada tahun 1965, ketika menyusuri kawasan pergunungan Sierra Morena yang luas, anggota Pengawal Awam Sepanyol membuat satu penemuan yang tidak disangka-sangka.

Merayau di pergunungan dengan merangkak menggunakan keempat-empat anggota badan, dalam keadaan tanpa pakaian dan berkaki ayam, seorang lelaki muda muncul dari celah-celah tumbuhan.

Dia ialah Pantoja yang ketika itu, seorang pemuda berusia 19 tahun yang telah menghabiskan 12 tahun terakhir hidup di pergunungan, terasing sepenuhnya daripada masyarakat manusia.

Pegawai-pegawai yang terkejut itu tidak dapat memahami bagaimana dia mampu bertahan hidup di kawasan hutan belantara selama itu.

Tapak kakinya yang sangat tebal dan dia tidak mampu bercakap, sebaliknya hanya mengeluarkan bunyi geraman sebagai tindak balas terhadap soalan mereka.

Namun, ternyata remaja itu telah menemui sekumpulan teman yang tidak disangka-sangka iaitu sekumpulan serigala yang menerimanya sebagai sebahagian daripada kelompok mereka dan membantunya untuk terus hidup.

Pantoja, yang kemudian dikenali sebagai ‘Mowgli dari Sepanyol’, berkata bahawa hari-hari paling bahagia dalam hidupnya ialah 12 tahun yang dihabiskannya bersama keluarga serigalanya.

Lelaki Sepanyol itu, yang menghabiskan tahun-tahun terakhir hidupnya di wilayah Ourense di utara Sepanyol, meninggal dunia pada 15 Ogos pada usia 80 tahun.

Kisah luar biasanya telah didokumentasikan selama bertahun-tahun dan malah diadaptasi menjadi sebuah filem oleh pengarah Sepanyol, Gerardo Olivares.

Pantoja berkata, dia menemukan kebebasan ketika hidup di pergunungan. Dia pernah menjadi mangsa penderaan kejam oleh ibu tirinya.

Ia berlaku selepas ibunya meninggal dunia ketika dia berusia tiga tahun dan bapanya berkahwin semula.

Oleh kerana terlalu ramai mulut yang perlu disuap, bapa dan ibu tirinya akhirnya menghantarnya ke pergunungan untuk bekerja sebagai penggembala kambing. 

Di sana, dia tinggal bersama seorang lelaki tua yang mengajarnya cara menggunakan api dan membuat peralatan.

Namun, apabila lelaki tua itu meninggal dunia ketika Pantoja baru berusia tujuh tahun, dia tiba-tiba ditinggalkan seorang diri di pergunungan.

Pantoja berkata, dia bertahan hidup dengan melihat jenis buah beri dan tumbuhan berakar yang dimakan oleh haiwan sebelum mengambil keputusan untuk memakan makanan itu.. 

Akhirnya, dia diberi makan oleh seekor serigala betina yang kemudian mengambilnya sebagai sebahagian daripada kelompoknya.

Dalam temu bual, Pantoja menceritakan bagaimana dia melihat serigala betina itu memberi anak-anaknya makan daging.

“Selepas memberi anak-anaknya makan, serigala betina itu melemparkan seketul daging kepada saya. Saya tidak mahu menyentuhnya kerana menyangka serigala itu akan menyerang saya.

“Namun, serigala betina itu menolak daging itu dengan hidungnya,” katanya kepada BBC pada 2013.

“Saya mengambilnya, memakannya dan menyangka serigala betina itu akan menggigit saya. Namun, haiwan itu menjelirkan lidah dan mula menjilat saya. Selepas itu, saya menjadi sebahagian daripada keluarga itu.”

Pantoja turut berkata bahawa dia mempunyai seekor ular sebagai teman yang sering mengikutinya.

Ini kerana dia memberi ular itu minum susu kambing- AGENSI

 

The post Warga emas pernah dibesarkan serigala sehingga remaja meninggal dunia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved