
PUTRAJAYA: Seorang lelaki warga emas berusia 82 tahun maut selepas kenderaan dipandu hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh sebatang pokok di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 8 pagi di Kilometer 2.5 Jalan Persiaran Utara berhampiran susur naik Jalan Lebuh Sentosa itu, mangsa yang memandu bersendirian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian dada dan kaki.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, siasatan awal mendapati kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan melanggar sebatang pokok di luar bahu jalan berkenaan.
Beliau berkata, mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 80-an disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Putrajaya untuk tindakan lanjut termasuk proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan dan tidak menolak semua kemungkinan yang boleh menyumbang kepada kejadian itu.
Aidi Sham berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Putrajaya di talian 03-88862138 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Kejadian itu menyebabkan aliran trafik di lokasi terbabit bergerak perlahan seketika sebelum keadaan kembali terkawal selepas kerja-kerja mengalihkan kenderaan selesai dijalankan. – UTUSAN
The post Warga emas maut kereta rempuh pokok di Putrajaya appeared first on Utusan Malaysia.






