
TAWAU: Seorang lelaki warga Filipina dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 10 kali sebatan rotan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa kerana memiliki 35.54 gram dadah methamphetamine pada Oktober tahun lalu.
Hakim Ahmad Faizadh Yahaya menjatuhkan hukuman itu terhadap Mursham Julpi, 35, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.
Mursham melakukan kesalahan itu di Kg Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas, pada jam 7.30 pagi, 21 Oktober 2025.
Kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) Akta sama memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang lima tahun serta sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah diberitahu, pada hari kejadian sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan Ops Tapis di kawasan berkenaan susulan maklumat mengenai kegiatan berkaitan dadah.
Setibanya di lokasi, pengadu bersama pasukan serbuan terserempak dengan Mursham yang bertindak mencurigakan sambil membawa sebuah beg pinggang berwarna hitam.
Dia terkejut dengan kehadiran polis dan cuba melarikan diri namun berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan dengan pasukan serbuan.
Pemeriksaan terhadap beg pinggang berzip hitam tertera tulisan “1986 One Level Up” itu menemukan 16 paket plastik lutsinar pelbagai saiz yang mengandungi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.
Pemeriksaan dan timbangan awal di pejabat BSJN IPD Tawau mendapati bahan berkenaan mempunyai berat kasar kira-kira 53.80 gram manakala analisis kimia oleh Jabatan Kimia Malaysia mengesahkan berat bersih sebanyak 35.54 gram.
Timbalan Pendakwa Raya Wildan Firdaus Ahmad Fazly tampil untuk pendakwaan manakala Mursham tidak diwakili peguam.





