
Kota Kinabalu: Seorang pekerja kilang dihukum penjara enam tahun dan diperintah dikenakan 10 kali sebatan rotan kerana memiliki 3,4-Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 30.0 gram.
Hakim Mahkamah Sesyen Monica Linsua menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Fariszan Rosdi, 22, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapinya.
Mohamad Fariszan didapati memiliki MDMA itu di sebuah bilik di sebuah rumah di Jalan Penampang pada 5 Januari tahun ini.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 12(2) dibaca bersama Seksyen 39A(2)(r) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) semuanya di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang lima tahun serta dikenakan sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.
Semasa mitigasi, Mohamad Fariszan yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan dia perlu menjaga dua adiknya yang masih bersekolah serta ibunya yang merupakan suri rumah sepenuh masa.
Dia turut memohon supaya tempoh hukuman penjaranya dikira bermula dari tarikh dia ditangkap.
Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran kepada Mohamad Fariszan.
Beliau turut memaklumkan bahawa Mohamad Fariszan pernah dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret atas kesalahan memiliki dadah jenis ketamin.
Mahkamah memerintahkan supaya tempoh hukuman penjara Mohamad Fariszan dikira bermula dari tarikh tangkap.






