Warga Maritim Malaysia pelbagai agama raikan Aidilfitri bersama

22 Mar 2026 • 2:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Thambyraj (kiri) antara pegawai di KM Bagan Datuk terlibat sepanjang pelaksanaan Op Khas Pagar Laut.
image is not available
Charles mula menyertai Maritim Malaysia sejak lima bulan lalu.

PELABUHAN KLANG - "Walaupun kami tidak ada hubungan abang adik, kerja susah sama susah kita rasa seperti keluarga."

Itu kata Pegawai Operasi Kapal Maritim (KM) Bagan Datuk, Leftenan Maritim R Thambyraj, 39, ketika berkongsikan pengalamannya menyambut perayaan Aidilfitri bersama rakan sepasukan beragama Islam.

Menurutnya, di KM Bagan Datuk agak istimewa kerana ada dua hingga tiga orang sahaja bukan beragama Islam.

"Kalau puasa, saya pun ikut puasa sebab setahun sekali nak rasa 'feel' itu walaupun cabaran menahan lapar.

"Walaupun bukan beragama Islam, saya perlu hormat rakan muslim lain.

"Bila pagi raya itu seronok sebab kami semua makan juadah raya sama-sama. Nikmat makan ramai-ramai memang seronok. Kita 'gathering' bukan dengan keluarga, tapi rakan pasukan sebab kerja sama-sama," katanya ketika ditemui Sinar Harian semasa Op Khas Pagar Laut di sini baru-baru ini.

Tambah bapa dua anak ini, bila perasaan itu ada, banyak perkara yang dibuat bersama-sama dan saling membantu.

Kata pegawai berasal dari Seremban itu lagi, beliau telah berkhidmat dalam Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kira-kira 12 tahun sejak 2014.

**media[3469319]**

Sementara itu, anggota paling muda di KM Bagan Datuk iaitu Laskar Kelas II (M) Charles Borremeo Yaban berkata, beliau baru memulakan tugas sebagai sebagai anggota Maritim Malaysia sejak lima bulan lalu.

Kata Charles, beliau sudah biasa beraya dengan rakan Muslim lain sebelum ini.

"Tahun ini pertama kali beraya di kapal dengan rakan muslim.

"Bagi saya ia satu pengalaman menarik apatah lagi puasa sama-sama. Ini pengalaman baharu beraya di kapal dan saya agak teruja," ujarnya.

Kata jejaka berasal dari Tambunan itu, beliau sudah selesa dan anggap semua ini sebagai satu keluarga biar pun bukan sesama agama dan bangsa.

Beliau yang ditugaskan di bahagian kelasi dan kelas operasi KM Bagan Datuk akui gembira dapat menyertai Maritim Malaysia selepas kali kedua hadir temuduga.

"Kali pertama pada 2021 saya gagal, syukur 'interview' kedua berjaya. Saya harap dapat teruskan kerjaya dalam Maritim Malaysia," ujarnya.